Pada usia perkahwinan sebegini, aku rasakan terlalu perit untuk menempuh hari-hari seterusnya bersama suami. Memang dari awal perkenalan bermacam-macam halangan yang aku tempuhi, namun aku langsung tak memikirkan ia adalah petanda yang tidak baik dalam kehidupanku.
Rasa seperti aku tidak mahu meneruskan lagi kehidupan sebagai seorang wanita bergelar ISTERI. Aku rasakan betul-betul derita. Adakah ini balasan Allah SWT atas kesilapan yang aku lakukan sebelum ini?
Seingat aku, di awal perkenalanku dengan suami bukanlah daripada situasi menyenangkan, bahkan aku mengenalinya dalam insiden yang memberi kesan negatif pada kehidupan dan juga kualiti kerja.
Daripada perkenalan ini juga dapat disifatkan siapa sebenarnya suamiku. Tetapi mungkin disebabkan sikap pemaafku ini, membuatkan aku kembali membuka ruang kepadanya untuk lebih mengenali diriku dan aku hanya mengenali keperibadiannya sekadar pada luaran sahaja.
Pada kira-kira sudah mencapai setahun perkenalan, aku akhirnya mengambil keputusan meninggalkan bekas kekasihku (yang kuanggap tiada masa depan) dan terus menerima lamaran suamiku untuk menjadi teman rapat, pada awalnya. Aku masih ingat lagi tanggal 15 Februari, malam selepas kami bersama-sama menikmati makan malam di KFC, lamarannya kuterima menerusi SMS sahaja.
Tidak lama menjalin hubungan, kami membuat keputusan untuk mengikat hubungan bagi menjaga nama baik keluarga. Pertikaian tercetus apabila ibunya mempersoalkan hantaran RM10,000 yang hendak diberikan kepadaku. Bagi ibunya, cukuplah sekadar RM7,000 sahaja.
Sudah pasti perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hatiku memandangkan zaman ini semua barangan tidak lagi murah seperti dahulu. Aku juga memiliki ijazah daripada Universiti Tempatan dan sudah bekerja hampir 5 tahun dengan tangga gaji kasar sebanyak lebih kurang RM4,000.
Masakan aku ini disamakan dengan gadis yang rendah tahap pelajaran dan seolah-olah tidak memiliki masa depan (bakal menyusahkan anaknya). Tambahan pula sepupuku mengeluarkan belanja hantaran sebanyak RM8,000 untuk gadis penjual air di tepi jalan sahaja.
Tanggal 12 April 2009 keluarganya datang ke rumahku, tetapi ibunya membuat helah yang menyusahkan hati kami sekeluarga. Aku tidak tahu kenapa suami masih boleh bertahan dengan karenah ibunya sedangkan berkali-kali aku meminta untuk memutuskan hubungan.
Pada 06 Jun 2009 termeterai juga ikatan janji setia suamiku untuk menjaga diriku sebaik mungkin dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
Aku tidak menyedari bahawa pada hari itulah bermula episod suram dalam kamus hidupku. Kini, aku bagaikan meniti hari yang runcing mempertahankan maruah diri dan keluarga. Aku tak bahagia....